Wednesday, August 12, 2009

BAB 3

BAB 3

3.0 PENGENALAN
Dalam bab ini, kaedah kajian akan dilakukan oleh pengkaji untuk mendapatkan maklumat dan keputusan yang tepat mengenai kajian yang dibuat. Untuk memastikan kajian tersebut berjaya, pengkaji akan menggunakan dua kaedah iaitu Kaedah Kualitatif dan juga Kaedah Kuantitatif.

3.1 KAEDAH KUALITATIF
Pengkaji akan membuat Kajian Kualitatif dengan menggunakan empat cara iaitu;
i. Temuramah
Kajian pengkaji tertumpu kepada golongan yang terlibat dalam Muzikal Angklung. Soalan yang dikemukan berkaitan dengan tajuk penyelidikan. Pengkaji akan menemuramah Encik Sam Mat Kous iaitu ketua di Wariseni Budaya, Shah Alam Selangor. Temuramah berkaitan dengan tajuk kajian pengkaji. Pengkaji juga akan menemuramah tenaga pengajar lain di Wariseni Budaya, Shah Alam Selangor untuk mendapatkan maklumat dengan lebih tepat.
Selain itu, pengkaji juga akan menemuramah guru muzik dan juga pelajar di sekolah rendah untuk mendapatkan pendapat dan maklumat mengenai Muzikal Angklung. Antara sekolah yang terlibat ialah Sekolah Kebangsaan Alam Shah, Petaling Jaya dan juga Sekolah Kebangsaan Dato’ Keramat, Kuala Lumpur.


Siswazah dari Persatuan Angklung Universiti Kebangsaan Malaysia juga akan terlibat sebagai responden pengkaji. Pengkaji akan menemuramah mengenai pembelajaran Angklung dan perkara-perkara yang berkaitan dengan tajuk pengkaji.

ii. Pemerhatian
Pengkaji akan membuat pemerhatian dengan melihat sendiri persembahan yang dilakukan serta mempelajari menggunakan alat muzik ‘Angklung’. Dengan cara ini, pengkaji akan mendapat keputusan dengan betul dan tepat. Pengkaji akan merekod semua rakaman mahupun muzik yang dipersembahkan. Pengkaji akan ke Sekolah Kebangsaan Alam Shah dan Sekolah Kebangsaan Dato’ Keramat, Kuala Lumpur untuk melihat sendiri bagaimana pembelajaran Muzikal Angklung di sekolah ajar kepada pelajar.
Selain itu, data sekunder juga akan dilakukan serta maklumat mengenai kajian dikumpul melalui pembacaan buku-buku rujukan, majalah, journal / tesis, artikel dan sumber dari internet.

iii. Kelompok fokus
Pengkaji akan menetapkan kumpulan fokus yang terdiri daripada kakitangan di Wariseni Budaya di Shah Alam Selangor, tenaga pengajar Muzikal Angklung dari Waiseni Budaya, pelajar-pelajar sekolah rendah iaitu di SK. Alam Shah dan SK. Dato’ Keramat, Kuala Lumpur , serta siswazah dari Persatuan Anklung UKM. Kelompok fokus pengkaji lebih tertumpu kepada pelajar sekolah rendah yang berumur 7 hingga 10 tahun. Pengkaji memilih pelajar linkungan umur tersebut kerana bersesuaian dengan kajian pengkaji.

iv. Eksperimental
Pengkaji akan membuat eksperimental berdasarkan maklumat yang dikumpul mengenai kajian pengkaji. Salah satunya ialah; penggunaan dan pemilihan medium yang sesuai dalam menghasilkan video pembelajaran Angklung dalam bentuk animasi. Pengkaji akan menghasilkan karektor untuk Anklung tersebut untuk menarik minat pelajar dalam video tersebut. Pemilihan warna untuk video tersebut juga penting dalam menghasilkan teknik pembelajaran yang berkesan.
Selain itu, pengkaji akan membuat eksperimen mengenai penceritaan simbol yang sesuai untuk memudahkan lagi teknik pembelajaran dalam bentuk animasi. Pembelajaran dalam sesebuah lagu mengikut irama Angklung, mesti mempunyai kaitan rapat dengan animasi yang akan dihasilkan.


3.2 KAEDAH KUANTITATIF
Pengkaji akan menggunakan borang kaji selidik untuk diedarkan bagi menjawab soalan berkaitan kajian penyelidik. Borang kaji selidik akan diedarkan selepas video berbentuk animatik disiapkan. Tujuannya adalah untuk mengetahui pendapat dan cadangan untuk memperbaiki lagi kajian pengkaji.

i. Borang kaji selidik
Pengkaji akan mengedarkan borang kaji selidik di sekitar pelajar FSGK, UNIMAS. Selepas memperolehi data, iaitu melaui pandangan responden juga dari borang kaji selidik, data akan dianalisis. Keputusan dari data yang telah dianalisis tersebut akan dijadikan petunjuk kepada pengkaji untuk meperbaiki lagi Projek Tahun Akhir pengkaji.

3.3 KESIMPULAN
Dalam bab ini, pengkaji dapat mengumpul data-data yang diperolehi hasil daripada Kaedah Kualitatif dan juga Kaedah Kuantitatif. Hasil dapatan yang diperolehi akan dijadikan sumber dan rujukan untuk pengkaji.

BAB 2

BAB 2

2.0 PENGENALAN
Dalam bab ini, pengkaji telah mendapat sorotan kajian yang berkaitan dengan kajian. Banyak yang berkaiatan dengan Muzikal Angklung itu sendiri dan ada juga mengenai pembelajaran. Setiap sorotan, akan dihuraikan dengan apa yang berkaitan dengan kajian pengkaji.

2.1 SOROTAN KAJIAN
2.1.0
PROGRAM MUZIK ANGKLUNG
‘Program ini diwujudkan khas untuk sekolah-sekolah rendah yang berminat menubuhkan kumpulan muzik angklung. Ia merupakan satu aktiviti ko-kurikulum atas inisiatif pihak sekolah. Kumpulan angklung yang ditubuhkan oleh pihak sekolah akan diketengahkan bakat mereka dengan diberi peluang mengadakan persembahan pada majlis-majlis tertentu di luar sekolah’.
Dipetik daripada; http://www.warisenibudaya.com/

Pembelajaran diperingkat sekolah sudah diajar sehingga kini, tetapi bukan dalam bentuk animasi. Pembelajaran tersebut merupakan pembelajaran secara langsung dan lisan. Oleh itu, pengkaji berpendapat pembelajaran berbentuk animasi dapat menarik minat pelajar untuk mempelajarinya. Selain itu, kaedah ini dapat memudahkan teknik pembelajaran

2.1.1
‘Sistem Realiti Maya sebagai medium penyampaian modul pembelajaran dan latihan muzik memberikan persekitaran pembelajaran yang lebih stimulatif dan mampu mencorakkan kaedah pembelajaran dan latihan pada masa hadapan’
Dipetik daripada; Muddatstir, M. (2001).
Thesis, Realiti Maya dalam pembelajaran Muzik – ‘Saron’



Sistem Realiti Maya merupakan satu kaedah yang bagus dalam pembelajaran alat muzik kini. Kaedah ini merupakan salah satu kaedah yang mengikut arus teknologi masa kini. Tetapi kaedah tersebut kurang sesuai untuk kanak-kanak di bawah 12 tahun. Keadaan ini kerana, kaedah tersebut memerlukan kemahiran dan pengetahuan dalam bidang teknologi maklumat. Hasil kajian tersebut telah menjadi rujukan untuk kajian pengkaji dalam konteks kaedah pembelajaran di sekolah-sekolah rendah.



2.1.2
‘Angklung merupakan satu alat muzik berbentuk Idiofon. Iaitu alat muzik ini digoncang mahupun digoyang untuk mendapatkan hasil bunyi yang merdu. Angklung untuk melodi dilaras dalam jarak ataupun jeda satu oktaf di antara satu sama lain dan bagi Angklung pengiring iaitu ‘accompaniment’ ianya perlu dilaras mengikut kaedah ‘trinada’ (Tonic Tria) iaitu – Do, Mi, So. Sama ada dalam mode ‘Major’ ataupun ‘minor’. Tidak ramai anak muda masa kini yang pandai bermain Angklung dan mereka lebih meminati alat muzik masa kini.’
Dipetik daripada; Penulis, Nik Mustapha Nik Mohd Saleh
(Alat Muzik Tradisional Dalam Masyarakat Melayu Di Malaysia)



Alat muzik ini mempunyai kelebihan yang tersendiri. Sebagai contohnya, Angklung dapat menghasilkan bunyi yang merdu. Tetapi kini, tidak ramai anak muda yang tahu bermain alat muzik ini. Oleh itu, pembelajaran di peringkat sekolah rendah dapat membantu anak muda sekarang mempelajarinya. Apabila Muzikal Angklung diajar dari usia yang muda, alat muzik ini tidak akan ditelan dek zaman.



2.1.3

‘Memang sukar mempertahankan muzik angklung ditengah-tengah keghairahan masyarakat khususnya generasi muda yang semakin fanatik terhadap muzik moden lantas meremehkan warisan kesenian nenek moyang. `Angklung itu bukan sekadar buluh sahaja. Untuk menghasilkan nada yang sesuai dan enak didengar perlu sentuhan seorang seniman bukan sekadar perajin,'' Jika dulu angklung dimainkan sebagai tanda gembira menyambut kedatangan musim menuai, kini instrumen yang sama dikomersialkan untuk menghiburkan pengunjung agar mereka sentiasa berada dalam suasana harmoni dan gembira.’
Dipetik daripada; ARKIB 27/04/2003,
Utusan Malaysia (Seni Sunda di sanggar angklung)
(penulis; Zulkefli Hamzah)


Penyataan di atas menyatakan generasi kini lebih cenderung terhadap muzik yang moden. Selain itu, ada yang tidak mahu ambil tahu mengenai alat muzik tradisional nenek moyang kita. Keadaan inilah yang membuatkan peninggalan nenek moyang kita hapus dari masa ke semasa.
Sebagai langkahnya, pembelajaran Angklung haruslah diajar dari kecil lagi. Untuk menarik golongan masa kini mempelajarinya, kaedah yang bersesuaian amat penting dalam pembelajaran muzikal Angklung. Penggunaan teknik pembelajaran yang manarik dapat mengubah ‘mood’ pelajar menjadi ceria.



2.1.4
‘Mengikut ahli ilmu jiwa yang membuat kajian mengenai kesan muzik terhadap jiwa manusia mendapati “jiwa manusia sentiasa dipengaruhi oleh muzik yang berbagai-bagai corak / bentuk pada setiap ketika. Namun ia dikuasai oleh beberapa faktor seperti alam sekeliling, adat resam, kepercayaan dan agama.’
Dipetik daripada: ‘Seni Muzik Keroncong’
Penulis, Ariff Ahmad (2001)



Apabila muzik mempengaruhi kehidupan mahupun jiwa manusia, pengkaji dapat mengambil peluang untuk mendekati responden untuk mengetahui jenis muzik yang digemari mereka. Setiap muzik tersebut mempunyai maksud yang tersendiri tidak kira dari segi kpercayaan, keadaan sekililing mahupun pengalaman.


2.1.5
‘Kita belajar dengan bercakap bersama-sama dan melakukan sesuatu perkara bersama-sama. Ia diterima sebagai aktiviti sosial. Bagaimanapun, yang lebih penting ialah pelajaran tidak akan berlaku akibat “input” sehala. Hasil daripada interaksi yang berlaku apabila saya, guru, bahan-bahan, rakan sejawat dan kawan-kawan serta keadaan lain berganding dan berinteraksi.’
Dipetik daripada: Pembelajaran Berkesan di Sekolah
(Annuar Ayub, 1999)



Untuk menghasilkan pembelajaran yang berkesan, teknik pembelajaran yang sesuai dan menarik perlu dijalankan tidak kira pembelajaran di dalam bilik darjah mahupun di luar bilik darjah. Selain itu, kaedah tersebut mestilah diterima oleh pelajar. Oleh itu, Pembelajaran berbentuk video animasi adalah salah satu teknik yang sesuai untuk menarik pelajar-pelajar untuk belajar.


2.1.6
‘Education in Malaysia is an ongoing effort towards further developing the potential of individuals in a holistic and integrated manner, so as to produce individuals who are intellectually, spiritually, emotionally and physically balanced and harmonious, based on a firm belief in and devotion to god. To develop a word class quality education system this will realize the full potential the individual and ful fil the aspirations of the Malaysia Nation.’
Dipetik daripada: ‘Education in Malaysia (a journey to xcellence)
Y.B Tan Sri Dato’ Seri Muda B. Mohammad, (2001)


Pembelajaran yang berkualiti di sekolah diperlukan dalam memupuk semangat pelajar-pelajar untuk mendapatkan ilmu. Jadi pelbagai kaedah dan sistem pembelajaran dijalankan untuk menghasilkan pelajar yang menjadi inspirasi kepada negara. Salah satu kaedah pembelajaran yang dipilih pengkaji ialah kaedah pembelajaran video animasi untuk menarik pelajar-pelajar yang berusia 12 tahun ke bawah untuk meminati sesuatu mata pelajaran di dalam kelas.

BAB 1

1.0 BAB 1

1.1 Pengenalan
Tajuk kajian adalah ‘Pembelajaran Muzikal Angklung Di Peringkat Sekolah Rendah Diadaptasikan Dalam Animasi’. Dalam bab ini, pengkaji akan menghuraikan mengenai latar belakang kajian.
Pengkaji akan mengkaji bagaimana proses pembelajaran yang berlaku di sekolah rendah untuk diadaptasikan dalam animasi. Tujuan pengkaji adalah untuk memberi kemudahan kepada pelajar untuk mempelajari muzikal Angklung. Selain itu, kaedah ini dapat memberikan persekitaran pembelajaran yang lebih stimulatif serta mampu mencorakkan kaedah pembelajaran pada masa hadapan.

1.2 ALAT MUZIKAL ANGKLUNG

Contoh; Angklung



Angklung merupakan sejenis alat muzik tradisional dari kesenian suku Sunda di Jawa Barat, Indonesia. Carta di bawah menunjukkan perkembangan alat Muzik Angklung yang dikenali sehingga sekarang;
Bermula dari kesenian suku Sunda di Jawa Barat, Indonesia

Banyumas, Indonesia

Jawa dan seluruh Indonesia

Malaysia
(kini Malaysia akan mendapatkan hak paten ke atas alat muzik Angklung)

Angklung diperbuat daripada buluh yang terdiri daripada dua hingga empat tiub yang diikat pada rangka yang dikenali sebagai ‘Ancak’. Tiap-tiap buluh akan menghasilkan bunyi yang tertentu. Irama Angklung akan terhasil apabila ia digetarkan agar berlaga antara dua bahagian untuk menghasilkan bunyi yang merdu. Setiap satu alat muzik Angklung, akan menghasilkan satu nada. Oleh itu, untuk menghasilkan irama yang lengkap, sekumpulan pemain Angklung diperlukan bagi menghasilkan irama yang lengkap. Tetapi kini, Angklung telah dikomersialkan. Angklung telah digabungkan menjadikan satu set Angklung yang lengkap dan dapat dimainkan oleh seorang pemain sahaja.
Angklung juga dimainkan dan dipersembahkan untuk majlis keramaian. Ia juga menjadi alat muzik iringan bagi tarian-tarian tradisional seperti Kuda Kepang, Gamelan dan Barongan.
Angklung telah dikategorikan dalam kategori ‘Idiofon’. Bunyi yang dihasilkan menggunakan nod; do-re-mi-fa-sol-la-ti-do


1.3 KEPERCAYAAN
Alat muzik ini juga dikatakan mempunyai kepercayaan tertentu semasa kemunculannya. Sejarah kemunculan Angklung adalah dari ‘ritus padi’. Angklung dicipta dan dimainkan untuk memikat ‘Dewi Sri’ turun ke Bumi agar tanaman padi rakyat tumbuh subur. Alat muzik ini juga dipercayai dapat memanggil semangat dalam pertempuran. Fungsi Angklung dikatakan untuk memanggil semangat rakyat.
Disebabkan kepercayaan tersebut, pemerintah Hindia Belanda telah melarang masyarakatnya menggunakan alat muzik ini. Kesan daripada pelarangan tersebut, populariti Angklung menurun hari demi hari dan hanya dimainkan oleh masyarakat pada waktu tersebut sahaja.

1.4 JENIS-JENIS ANGKLUNG
Terdapat dua jenis Angklung yang dapat dikenalpasti oleh pengkaji, iaitu ;
1.4.1 Angklung Pentatonis
Angklung Pentatonis berasal dari masyarakat Sunda. Alat muzik ini dimainkan dengan lima nada tradisional, disebabkan alat muzik ini dimainkan dengan lima nada tradisional, ia telah disebut sebagai Pentatonis.
Angklung Pentatonis juga dipanggil denga nama-nama lain antranya ‘Pelog, Salendro, Madenda’.
Nod untuk Angklung Pentatonis; da-mi-na-ti-la-da

1.4.2 Angklung Padaeng
Angklung Padaeng diilhamkan oleh Bapak Angklung Diatonis Daeng Sutigna, pada tahun 1937. Nama lain untuk Angklung Padaeng ialah ‘Angklung Diatonis’. Nod yang digunakan sama seperti alat muzik yang lain contohnya seperti; piano, organ, biola
Nod; do-re-mi-fa-sol-la-ti-do

Angklung Padaeng juga terbahagi kepada dua iaitu ‘Angklung Melodi’ (satu angklung mewakili satu nada) dan ‘Angklung Accompagnement’ (satu angklung mewakili satu akord).


1.5 DEFINISI ISTILAH
1.5.1 MUZIK
‘Muzik’ merupakan salah satu perkataan yang berasal daripada Yunani, iaitu ‘Mousike’. ‘Mousike’ merangkumi segala kegiatan manusia yang melahirkan rentak irama mahupun bunyi yang harmoni. Selain itu, orang Yunani beranggapam bunyi / irama yang dihasilkan dikuasai oleh dewi mereka iaitu Dewi Muse.
Menurut Kamus Dewan pula, Muzik bermaksud gubahan bunyi untuk memperolehi keindahan bentuk dan pernyataan perasaan, bunyi-bunyian. Selain itu ada yang beranggapan Muzik dihasilkan dengan suara, tepukan tangan, hentakan kaki dan ketukan kayu. Tetapi, lama-kelamaan mereka semakin maju dan pandai mencipta alat-alat paluan seperti gendang dan alat-alat tiupan seperti seruling.

1.5.2 IDIOFON
Idiofon merupakan klasikal muzik instrumental yang perlu digetarkan untuk menghasilkan bunyi / irama yang merdu. Terdapat tiga jenis Idiofon, iaitu Idiofon logam. Idiofon kayu dan Idiofon buluh. Antara contoh Idiofon ialah; Angklung, Violin dan Harmonika.





sumber dari; http://www.warisenibudaya.com/

1.6 Gambar-gambar di atas menunjukkan proses pembelajaran di sekolah rendah. Kaedah pembelajaran dilakukan secara langsung dan lisan.

1.7 PENYATAAN MASALAH
Pengkaji mendapati pembelajaran berbentuk animasi dalam mempelajari alat muzik Angklung belum diwujudkan di peringkat sekolah.
i. Sehingga kini pembelajaran Angklung hanya dilakukan secara langsung dan lisan sahaja. Pembelajaran hanya berlaku di dalam kelas sahaja.
ii. Terdapat kajian mengenai pembelajaran alat muzik dalam bentuk ‘realiti maya’. tetapi, kaedah pembelajaran tersebut memerlukan pengetahuan dan kemahiran komputer.

1.8 OBJEKTIF KAJIAN
1. Mengkaji kaedah pembelajaran yang digunakan di sekolah rendah untuk mempelajari instrument alat muzik Angklung.
2. Menganalisa elemen visual dan irama daripada pembelajaran muzikal untuk kanak-kanak di sekolah rendah.
3. Mengaplikasikan pembelajaran muzikal Angklung dalam bentuk animasi.
4. Menilai keberkesanan pembelajaran Angklung dalam bentuk animasi di sekolah rendah.
1.9 HIPOTESIS
1. Pembelajaran muzikal Angklung yang diaplikasikan ke dalam animasi dapat memudahkan pelajar mempelajari alat muzik ini.
2. Pembelajaran Angklung dalam bentuk animasi dapat menarik minat golongan masa kini untuk mempelajari alat muzik ini.

1.10 SKOP KAJIAN
Skop kajian lebih tertumpu kepada eksperimental animasi. Pemilihan lokasi yang sesuai perlu diambil kira oleh pengkaji untuk memperolehi data yang tepat. Lokasi kajian yang dipilih ialah Wariseni Budaya, Shah Alam Selangor. Pemilihan lokasi ini kerana Wariseni Budaya menawarkan persembahan Angklung secara solo ataupun berkumpulan serta kursus untuk pembelajaran Angklung. Melalui lokasi ini pengkaji akan mendapat data yang diperlukan dengan lebih cepat dan mudah.
Skop kajian lain ialah dari segi pemilihan responden. Sebanyak 10 responden yang akan dipilih oleh pengkaji yang terdiri daripada kakitangan Wariseni Budaya, Shah Alam, Selangor, Ahli Persatuan Angklung UKM Bangi, Selangor dan juga pensyarah muzik Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif, UNIMAS.

1.11 LOKASI KAJIAN
Lokasi pilihan pengkaji ialah di Wariseni Budaya, Shah Alam Selangor. Selain itu, pengkaji akan ke sekolah-sekolah yang berdekatan di kawasan tersebut iaitu di sekitar Wariseni Budaya, Shah Alam untuk mendapatkan responden dari pelajar-pelajar sekolah rendah.

1.12 LIMITASI KAJIAN
Antara limitasi yang mungkin akan berlaku semasa membuat penyelidikan adalah seperti jadual waktu yang tidak sama dengan responden. Pemilihan hari dan waktu yang sesuai antara pengkaji dan responden amatlah penting untuk pengkaji mendapatkan maklumat-maklumat yang berkaitan. Selain itu, masa yang terhad merupakan salah satu limitasi kajian. Pengkaji perlu pulang ke semenanjung dalam tempoh yang singkat untuk membuat penyelidikan dari segi kuantitatif dan kualitatif.


1.13 KESIMPULAN
Dalam bab ini, kita dapat mengetahui sedikit sebanyak mengenai latar belakang yang dikaji oleh penyelidik. Dapat disimpulkan di sini, Alat Muzik Angklung akan ditelan arus pemodenan jika kita tidak bertindak untuk memperkenalkan dan tidak memberi pendedahan tentang pembelajarannya untuk anak muda masa kini.